MAHASISWA PENCETUS GELOMBANG KETIGA
Kesempatan cuti Nuzul Al-Quran saya gunakan untuk
menghubungi beberapa orang rakan pimpinan di UM dan UKM, sambil mengucapkan tahniah di atas
kemenangan besar kelompok pro pembaharuan di sana, saya juga berkesempatan berbincang
mengenai beberapa isu yang dijadikan modal kempen di dalam pilihanraya kecil mereka
baru-baru ini. Kami bertukar pendapat di dalam di dalam beberapa isu. Sambil saya tidak
lupakan juga menghubungi seorang exco MPMUUM bertanyakan khabar, serta cerita
terutamanya mengenai isu kafir mengkafir yang dihebohkan oleh media massa sehari dua
lepas.
Apabila pencuri menjerit pencuri
Saya dimaklumkan oleh sahabat saya
dari UUM tadi, bagaimana suasana kempen mereka, dia menceritakan kelompok pro kerajaan
telah mencipta risalah kafir mengkafir ini dan menuduh kononnya mereka dikafirkan oleh
kelompok pro pembaharuan, mereka tiada isu nak diperjuangkan dan menggunakan taktik yang
hampir sama seperti yang digunakan oleh boss boss mereka iaitu mencipta isu. Keadaan
yang sama seperti pencuri yang menjerit "pencuri, pencuri" walhal dialah
pencuri itu. Namun rata rata mahasiswa di UUM tidak terpengaruh dengan isu tersebut
kerana mereka lebih arif menilai yang mana satu intan yang mana satu kaca.
Mahasiswa
sebelum gerakan reformasi dilancarkan
Dimana mana kita saksikan golongan
mahasiswa dilihat sebagai golongan yang cepat sedar apabila dasar negara pincang,
mahasiswa akan bangun dan bersuara, lebih nyata hal ini dilihat di negara barat dan juga
negara Korea dan china. Di Malaysia satu ketika dahulu, di zaman saudara Anwar Ibrahim, Hissamudin
Rais, Kamarulzaman Yaakob, Nik Abdullah Arhsad, mahasiswa cukup aktif menjadi saluran
kepada rakyat menuntut hak mereka. Mahasiswa ketika itu memperjuangkan isu isu rakyat,
soal harga getah, soal petani dan nelayan. Mahasiswa waktu itu lantang sekali, menyentuh
sehingga soal soal antarabangsa dari isu Yahudi dan Palestine hingga ke soal dasar
negara komunis Russia. Namun apabila si Firaun Mahathir menjadi menteri pendidikan,
dibentangkannya AUKU dan tidak lama kemudiannya AUKU diaktakan. Mahasiswa selepas
munculnya AUKU adalah mahasiswa yang kurang
bersengat, kurang berbisa.
Ada yang berani seperti Ahmad lufti, akhirnya dibuang dari
Universiti. Yang banyaknya hangat hangat tahi ayam, bila diugut AUKU terus senyap,
lupakan soal rakyat marhaen, soal dasar negara yang semakin menyusahkan rakyat, apatah
lagi nak bercakap soal antarabangsa. Mahasiswa sudah tidak berkuku di Malaysia.
Mahasiswa
selepas gerakan reformasi dilancarkan
Detik perubahan ketara mahasiswa di Malaysia
adalah sewaktu dengan detik perubahan pola berfikir masyarakat melayu. Sebelum DSAI
dipecat rata rata masyarakat Melayu berumur 30 tahun ke bawah kurang berminat dengan
politik dan isu isunya, tetapi setelah DSAI dipecat golongan inilah yang kita lihat hari
ini tampil ke depan melaungkan reformasi dan pembaharuan. Di kampus sekitar lembah Klang
atau yang luar darinya kita saksikan kelompok pro pembaharuan menang besar di dalam
pilihan raya kampus yang diadakan. Mahasiswa tiba tiba dilihat di himpunan himpunan aman
menuntut reformasi. Mahasiswa bagai tersedar dari tidur yang lena dan mereka dilihat
bersemangat sekali menuntut reformasi. Lihat sahaja di dalam beberapa siri pilihan raya
kecil selepas pilihan raya umum 1999, di Sanggang, Teluk Kemang dan juga Lunas, peranan
mahasiswa tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, mahasiswa terpanggil berkempen
memenangkan calon pro pembaharuan setelah mereka menyaksikan segala kepincangan dan
salah guna kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sekarang ini.
Kita saksikan kebangkitan semula mahasiswa setelah sekian
lama lesu dan beku. Terbaru beberapa orang mahasiswa IPTA bergabung mencipta laman
web.reformis, yang semua itu menggambarkan kepada kita yang mahasiswa sudah tidak takut
diugut. Mereka sudah mula mengambil bahagian untuk bersama sama memeriahkan perjuangan
golongan pembaharuan di alam cyber.
Mahasiswa alaf baru
Saya seringkali
ingatkan pada kawan kawan di dalam saf kepimpinan mahasiswa, yang kita perlu berkerja
lebih keras memastikan ramai lagi mahasiswa bersama dengan kita berjuang dan kembali
menjadi suara dan saluran rakyat marhaen menuntut hak mereka. Mahasiswa alaf baru harus
melupakan untuk seketika budaya 'couple' lalai dengan handset ditangan dan berbagai
lagi. Mahasiswa alaf baru harus keluar dari kepompong AUKU, mahasiswa alaf baru harus
berani menegakkan kebenaran menentang kezaliman. Saya ingatkan juga pada teman naqib dan
naqibah agar menyampaikan mesej ini di dalam usrah mingguan supaya lebih ramai mahasiswa
sedar dan kita bina satu jati diri baru mahasiswa di Malaysia, mahasiswa harus lagi
bukan pemuda rewangan, pemuda pintu gerbang, pemuda shopping complex tetapi pemuda,
pemuda juanggg.
REFORMASI KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH ADIL
-irzaimi-
ayat@freeanwar.com